SIAPA SAYA?

Saya mula serius mempelajari muzik ketika berusia 24 tahun. Pendedahan awal ialah ketika mengikuti kursus Music Foundation Program di International College of Music (ICOM). Setelah lulus dan memperoleh sijil, menyambung pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Pada tahun 2002, saya pernah membimbing kumpulan nasyid Nurul Ehsan, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan menjadi juara Festival Nasyid peringkat kebangsaan. Mula menjawat jawatan sebagai Pegawai Kebudayaan di Istana Budaya mulai tahun 2002. Pengalaman pertama diangkat sebagai pengarah muzik serta penggubah muzik untuk konsert antarabangsa iaitu “Silk Road” CPI Main Concert serta tiga konsert “Echoes of Universe” (ahli muzik dan karyawan pentas dari 8 buah negara) semasa menjalani latihan di National Theater of Korea (Invitation Workshop for Traditional Artist) dan diberi kepercayaan untuk menjadi konduktor sewaktu latihan orkestra pada tahun 2007.
Sekembalinya dari mengikuti latihan di Korea, saya melontarkan idea supaya diwujudkan sebuah orkestra iaitu Orkestra Tradisional Malaysia. Saya berpengalaman sebagai pengurus orkestra di bahagian muzik sejak tahun 2008 iaitu menguruskan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Orkestra Simfoni Remaja. Sejak tahun 2009 pula saya menguruskan program khas Permata Seni Muzik yang dinaungi oleh isteri YAB Perdana Menteri , YABhg Datin Seri Paduka Rosmah Mansor.
Saya juga pernah diberi kepercayaan menjadi konduktor memimpin persembahan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) semasa persembahan makan malam gala World Islamic Economic Forum di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Pada tahun 2010, saya turut terlibat sebagai salah seorang panel yang terlibat dalam menyiapkan dokumen National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk Kementerian Sumber Manusia, pengkhususan untuk kumpulan muzik tradisional dan orkestra.
Antara pengalaman sebagai Pengarah Konsert bagi persembahan di Istana Budaya ialah konsert mini “Keamanan’ bersama Applehill Quartet USA dan kumpulan ghazal dari Sekolah Tinggi Kluang, Johor pada 23 Mei 2006, Konsert OSK Evolusi Muzik Malaysia bersempena ISME 2006 (18 Julai 2006), Konsert Irama Tanah Pusaka 26-27 Ogos 2006, Konsert Simfoni Rakyat Malaysia Istana Budaya (5-6 Januari 2007), Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan sempena Harijadi TYT Sabah di Kota Kinabalu (20-21 Oktober 2008) serta Malam Amal Untukmu Palestin (31 Januari 2009).
Ketrampilannya juga diuji dengan menjadi pengurus delegasi ke festival dan pertandingan muzik antarabangsa di antaranya menyertai Festival Sharq Taronalari Istamuzika di Samarkhand, Uzbekistan pada 25 hingga 30 Ogos 2009, World Championship of Performing Arts, Los Angeles, California Amerika Syarikat pada 21-29 Julai 2008, Titian Budaya Malaysia-Singapura Esplanade, Singapura pada 9-10 Mei 2008 dan persembahan tarian dan orkestra gabungan ASEAN dan China di hadapan Angkor Wat, Siem Rap, Kemboja bersempena ulangtahun ke 15 dialog ASEAN dan negara China.
Manakala pengalaman sebagai pengurus konsert pula ialah terlibat dalam Konsert 1Suara 1Impian 1Malaysia, Orkestra Tradisional Malaysia di JKKN Negeri Sembilan pada 18 Disember 2010. Konsert Pelancaran OTM (5-6 Februari 2010). Selain itu, juga terlibat dalam Konsert Kasih (Tangan Yang Memberi) (17-18 Januari 2005).